5 Tabiat Bijak Membina Masa Depan Yang Gemilang

5 Tabiat Bijak Membina Masa Depan Yang Gemilang

Jangkamasa Bacaan 2 min     I     Tarikh: 25 November 2021
(Dengan kerjasama Majalah Labur)
 

Situasi pandemik dilihat semakin pulih setelah kadar vaksinasi melebihi sasaran imuniti kelompok. Hampir kesemua aktiviti ekonomi dan sosial telah dibenarkan. Kita dapat lihat orang ramai sudah mula menjalani kehidupan seperti biasa. Jalanraya sudah sesak semula, dengan para pekerja mula bertugas di pejabat dan pelajar sudah mula kembali ke sekolah. Kita sedang menuju fasa endemik!

Aktiviti pelancongan sudah mula rancak. Banyak tempat tumpuan pelancong telah kembali dipenuhi para pelancong. Hampir semua hotel dan pusat peranginan telah penuh ditempah sehingga ke hujung tahun.

Ini merupakan petanda yang baik untuk fasa pemulihan ekonomi negara, tetapi bagaimana pula dengan ekonomi diri sendiri dan keluarga?

Adakah kita bersedia untuk menghadapi kegawatan ekonomi sekiranya ia berulang? Jadikan peristiwa yang lalu sebagai pengajaran dan pedoman.
 

Untuk itu, kami ingin berkongsi 5 tabiat bijak bagi membina masa depan yang gemilang.

1. Kurangkan Perbelanjaan
Amat penting untuk kita membezakan di antara keperluan dan kehendak. Dengan adanya kemudahan online shopping, memang cukup senang untuk kita berbelanja.

Tanpa kita sedari terbeli baju baru, beg tangan baru atau tudung baru – tanpa perlu keluar dari rumah langsung.

Nak beli boleh, tapi tetapkan dulu bajet bulanan berapa yang boleh dibelanjakan setiap bulan. Mulakan pemantauan perbelanjaan anda dan kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Senang kata, jika tak perlu tak payah beli!
 

2. Tingkatkan Pendapatan
Bila dah berjaya kurangkan perbelanjaan, fokus pula untuk tingkatkan pendapatan. Sama ada nak buat kerja part-time, freelance atau menjadi ejen dropship.

Tanpa perlu mengganggu urusan kerja hakiki, semua ini boleh dilakukan pada waktu terluang atau hujung minggu. Kalau dapat RM500 tambahan setiap bulan pun dah kira banyak juga tu!
 

3. Simpan Sekurang-Kurangnya 10% Daripada Gaji Setiap Bulan
Satu statistik yang sangat membimbangkan, 75% rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan walaupun sebanyak RM1,000 sekalipun1. Ini bermakna rata-rata mereka memang tidak mempunyai sebarang persediaan sekiranya ada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku.

Mulakan tabiat menyimpan 10% daripada gaji bulanan. Simpan secara konsisten dan berdisiplin. Ingat, duit ini bukan untuk dibelanjakan sekarang tetapi untuk tujuan kecemasan atau dana rizab.  Bila dah mula seronok menyimpan, bolehlah  tingkatkan kadar simpanan bulanan kita.

Pastikan kita ada simpanan kecemasan sebanyak 3 ke 6 bulan gaji. Kalau sekarang gaji RM3,000, pastikan ada simpanan sekurang-kurangnya RM9,000.
 

4. Mula Melabur
Stigma orang, pelaburan ini untuk orang kaya je. Siapa kata tak kaya tak boleh melabur. Kat luar sana banyak je instrumen pelaburan yang bermula serendah RM10 atau RM100. Simpanan yang kat atas tu, jangan lah saja disimpan di dalam akaun simpanan biasa. Buat kepelbagaian, laburkan sebahagian secara berkala.  Ada pelbagai jenis pelaburan yang menurut toleransi risiko kita. Ada tinggi, rendah dan sederhana.

Kita ada pelaburan amanah saham, saham, hartanah dan bermacam-macam lagi. Lagi awal kita melabur, lagi besar potensi pulangan yang kita bakal perolehi dengan adanya faedah berganda (compounding interest).

Katakan kita melabur sebanyak RM100 sebulan. Dengan andaian kadar dividen/pulangan sebanyak 8% setahun, selepas 10 tahun kita akan ada RM18,021.282. Sekiranya kita terus-menerus melabur RM100 sebulan selama 20 tahun, dengan andaian kadar dividen/pulangan sebanyak 8% setahun, selepas 20 tahun kita akan ada RM56,927.88.

Lakukan perkara yang sama, selepas 30 tahun kita akan ada sebanyak RM140,924.31. Itulah dia kelebihan faedah berganda.

Sekiranya kita melabur RM200 sebulan selama 30 tahun dengan andaian kadar dividen/pulangan sebanyak 8% setahun, kita akan ada sebanyak RM280,439.39.

Banyak juga tu. Boleh digunakan untuk bermacam-macam perkara ketika dah bersara nanti.
 

5. Rugi Jika Tak Mula Sekarang Juga
Jadikan pegangan hidup, benda baik jangan nak di lengah-lengahkan! Praktikkan ilmu yang ada sekarang juga. Boleh ikut saja langkah #1 sehingga #4 seperti yang dikongsikan di atas.

Mungkin ada yang beri alasan gaji kecil maka susah nak bermula. Tetapi kita kena ingat, walaupun gaji kita mungkin kecil, tetapi  waktu gaji kecil pun tak boleh nak simpan 10% setiap bulan; nanti bila gaji dah naik sikit pun masih terasa susah nak simpan 10% sebulan. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang di kemudian hari.

Sebaliknya jika kita bermula sekarang, lama-kelamaan ia akan jadi satu tabiat. Gaji kecil pun kita dah bijak urus kewangan, nanti bila gaji semakin besar semakin senang nak urus kewangan.
 

Rujukan:

1. https://themalaysianreserve.com/2017/10/04/bnm-malaysians-find-hard-raise-cash-emergencies/

2. https://www.thecalculatorsite.com/finance/calculators/compoundinterestcalculator.php

 

Apakah yang perlu dilakukan seterusnya?
 

Tidak pasti bagaimana untuk memulakan pelan pelaburan anda? Dapatkan nasihat daripada perunding kewangan. (Kami boleh membantu anda). Perunding kewangan kami boleh membantu anda mencapai matlamat dan memberikan nasihat berdasarkan toleransi risiko anda.