Kaji selidik Principal® menunjukkan tahap tekanan kewangan responden di serata Asia meningkat kesan daripada penamatan sokongan pandemik dan kadar inflasi yang lebih tinggi.

Kaji selidik Principal® menunjukkan tahap tekanan kewangan responden di serata Asia meningkat kesan daripada penamatan sokongan pandemik dan kadar inflasi yang lebih tinggi.

 

Principal Logo W1880 x H182_Media Center

Hasil kaji selidik di Singapura, Hong Kong dan Malaysia menunjukkan tahap simpanan yang lebih rendah dan tahap hutang yang lebih tinggi telah menghalang keupayaan responden untuk menetapkan dan mencapai matlamat persaraan jangka panjang mereka.

20 Jun 2023
Menurut kaji selidik baharu yang dijalankan oleh Principal Financial Group®, 40 peratus responden di Singapura, Hong Kong dan Malaysia tidak yakin akan keupayaan mereka untuk menguruskan kewangan mereka tanpa bantuan kewangan tambahan ekoran dari peningkatan inflasi dan pemberhentian bantuan kewangan berkaitan pandemik daripada pihak kerajaan dan majikan.

Principal, dalam menilai persepsi penduduk mengenai keterangkuman kewangan telah menjalankan kaji selidik terhadap 1,500 responden di Singapura, Hong Kong dan Malaysia sebagai pengenalan kepada siri kedua kaji selidik tahunan Indeks Keterangkuman Kewangan Dunia (Global Financial Inclusion Index) yang dijangka akan dikeluarkan pada bulan September nanti. Kaji selidik tersebut mendapati situasi makro ekonomi telah mula memberi kesan terhadap keupayaan orang ramai untuk menyimpan wang persaraan dan membuat perancangan masa depan kewangan mereka.

Menurut Thomas Cheong, Presiden Principal Asia, “Penduduk di Hong Kong, Malaysia dan Singapura merasakan semakin sukar untuk mereka mengimbangi keperluan harian dengan perancangan kewwangan masa depan mereka. Selain daripada inflasi yang tinggi dan kadar faedah yang kian meningkat, faktor makro ekonomi dan sosioekonomi memberi impak yang lebih besar terhadap kestabilan kewangan mereka berbanding pra-pandemik Covid-19. Justeru itu, kami di Principal menumpukan usaha kami dalam membantu pelanggan, bukan hanya melalui produk dan perkhidmatan kami, tetapi juga melalui usahasama filantropi.

Kemerosotan wang simpanan dan hutang yang meningkat menyebabkan tekanan kepada kos harian

Sejak dua tahun yang lalu, lebih daripada separuh (51%) responden di semua pasaran Asia yang dikaji menyatakan bahawa simpanan mereka semakin berkurangan manakala, 43% pula dibelenggu hutang yang semakin meningkat, menjadikan mereka sukar untuk memenuhi perbelanjaan seharian. 34% responden pula menyatakan bahawa kadar kos sara hidup harian menyukarkan mereka untuk membayar bil harian seperti pinjaman rumah, elektrik, insurans, dan perbelanjaan petrol kereta berbanding dua tahun yang lalu. Peratusan yang sama juga menyatakan adalah sukar bagi mereka untuk membayar perbelanjaan yang tidak dijangka tanpa meminjam wang dan meminta bantuan dari rakan dan keluarga.

Mengimbangi simpanan untuk masa depan dengan mengurus keperluan segera

Menghadapi cabaran kewangan masa kini, makin ramai yang berasa sukar untuk mengimbangi tekanan kewangan masa kini dengan perancangan masa depan khususnya untuk tabung kecemasan serta simpanan persaraan. Di semua pasaran, 43% responden bersetuju bahawa menabung untuk persaraan kini lebih mencabar. Manakala 40% responden menghadapi kesukaran menetapkan pelan kewangan untuk persaraan dan merancang matlamat kewangan jangka panjang. Separuh daripada responden (50%) juga merasakan ahli keluarga lebih banyak bergantung kepada mereka dari segi kewangan berbanding dua tahun lalu. Oleh itu, kesukaran dalam menabung jangka panjang mungkin dapat dijelaskan oleh peningkatan kos untuk penjagaan ahli keluarga yang tua dan kos sara anak.

Majikan perlu memainkan peranan yang lebih besar setelah bantuan kewangan pandemik ditamatkan

Sekitar satu daripada tiga (36%) responden tidak berpuas hati dengan situasi kewangan mereka sekarang dan ramai yang merasakan kedudukan kewangan mereka kini lebih teruk berbanding sebelum wabak COVID-19 kerana kos sara hidup di seluruh dunia yang semakin tinggi. 

Apabila ditanya apakah sokongan kewangan yang  paling berguna untuk membantu mereka, 21% responden inginkan caruman simpanan persaraan yang lebih tinggi dari majikan mereka. Penemuan ini mencadangkan bahawa majikan memainkan peranan yang penting. Selain itu, perubahan kepada cara bekerja di masa depan yang menawarkan fleksibiliti kepada mereka yang perlu  menjaga ahli keluarga mereka juga boleh mendatangkan manfaat. 21% responden mengatakan bahawa melanjutkan tempoh atau mengekalkan fleksibiliti bagi lokasi kerja dan waktu kerja akan dapat membantu mereka.

“Kami berharap pemahaman tentang cabaran ekonomi dan situasi kewangan di Hong Kong, Malaysia dan Singapura akan membantu kerajaan, institusi kewangan, dan majikan untuk memastikan bagaimana mereka dapat saling bekerjasama dalam membawa perubahan positif melalui dasar-dasar dan program-program yang berkesan,” tambah Cheong. “Sebagai sebuah firma pengurusan pelaburan yang mempunyai kepakaran dalam bidang perancangan persaraan, kaji selidik ini mengukuhkan lagi komitmen kami dalam membantu lebih ramai orang memperoleh kestabilan kewangan melalui panduan yang diberikan agar tabiat menyimpan dapat dipupuk lebih awal, secara berdisplin dan konsisten."